“Tidak sepatutnya bagi orang-orang
yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi
dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk
memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi
peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya
mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]
DI CELAH KEGENTINGAN TABUK
Musim panas dan pohon tamar berbuah ranum.
Tuaian harus disegerakan untuk manfaat bekalan keperluan hidup setahun mendatang.
Dalam suasana itulah Allah SWT menguji kaum
mu’minin untuk turun berjuang. Jangan terkecuali walaupun seorang.
Namun segalanya terhasil dengan hikmah yang besar. Sekumpulan sahabat
tercicir dengan alasan dan situasi masing-masing. Mereka ditegur dan
diperbetulkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang
amat menusuk kalbu. Pengajaran kekal yang tidak akan dilupakan sampai
bila-bila.
Peringatan itu menjadikan para sahabat
begitu peka dan responsif terhadap perintah jihad. Hingga tiada langsung
yang berlengah. Tatkala ada sub misi (sariyyah, bukan ghazwah)
yang dilancarkan oleh Baginda allallaahu ‘alayhi wa sallam, kesemua
sahabat menyertainya hingga baginda ditinggalkan sendirian di kota. Lalu
turun ayat ini memberi peringatan, bahawa sebesar mana sekali pun suatu
misi, adalah tidak wajar untuk kaum mu’minin itu keluar semua sekali
memenuhi agenda yang satu.
Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu beriringan sedarjat.
MENUNTUT ILMU ITU JUGA NAFAR
Falaulaa nafara…
Keluar menuntut ilmu, digelar Allah dengan kalimah nafara,
iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal
keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah itu harus kita
teladani, bahawa Allah SWT mahu kita melihat proses menuntut ilmu di
jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang
keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut
ilmu di jalan Allah.
Peperangan Itu Susah
Penuntut ilmu juga harus menyediakan
fizikal, mental, emosional dan spiritual mereka terhadap hakikat ini,
bahawa jalan yang dipilih adalah jalan yang penuh ujian dan kesusahan.
Pertaruhannya adalah segala milikan diri, dari masa, tenaga dan harta,
hinggalah kepada nyawa dan survival jiwa.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji
kamu dengan secebis perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa
serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang
sabar” [al-Baqarah 2: 155]
“Sudah diberi biasiswa takkanlah susah lagi?” terdetik di bibir rakan-rakan mengulas kehidupan yang bakal kami tempuh.
Hakikatnya, soal kewangan yang sering
menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar belayar di
perantauan. Mungkin dalam sederetan ujian yang mendatang, musibah besar
yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN.
Bebas terbang ke sana sini, tiada lagi leteren dan hambatan kawalan yang
menghantui. Segalanya bebas.
Dan kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang.
Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.
Peperangan Harus Terancang
Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.
Peperangan itu besar. Nilainya besar,
harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke
arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan.
Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti
diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu
dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan.
Apa yang saya cari?
Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.
Bakal tercampak sunyi di negeri orang.
Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.
Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!
Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.
Apakah yang saya cari?
Soalan tentang hal ini saya fikirkan
sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa
saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari?
Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar
Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?
Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan
diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha
Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa
untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya
makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah
untuk mencari keistimewaan itu.
Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.
Peperangan Harus Ada Kemahiran
Mustahil pergi berperang hanya dengan
tawakkal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang
diwajibkan Allah ke atas alam ini.
Kata bijak pandai:
“Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik”
Niat yang baik adalah tuntutan
Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara
sistematik pula adalah Sunnatullah yang melengkapkannya. Justeru,
keinginan untuk mewarisi perjuangan para Anbiya’, harus menyeluruh
mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya’. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.
Cerdik tapi tak baik, jadi penipu.
Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipu.
Pendakwah mesti cerdik. Kemahiran mesti
tinggi. Di atas kesedaran itu, saya letakkan azam yang tinggi, bahawa
agenda di bumi Anbiya’ nanti bukan hanya pada melangsaikan silibus di
bilik kuliah. Kemahiran bahasa, kemahiran ICT, kemahiran berfikir,
kemahiran berkomunikasi, dan segala ilmu kendiri, mesti digarap tanpa
berlengah-lengah dan bersantai diri. Pewaris Anbiya’ mesti outstanding!
Peperangan Harus Kenal Kawan dan Lawan
Peperangan itu licik.
Lawan disangka kawan.
Kawan dijadikan lawan.
Tipu daya di dalam sebuah pertempuran
sering mengelirukan. Dalam tempoh masa yang terhad dan penuh
kegentingan, seorang penuntut ilmu di jalan Allah harus peka sepeka
mujahid fi sabilillah. Matanya harus cepat membaca suasana. Setiap
manusia dan kehidupan yang melintas di depan mata harus cepat dikenal
pasti, apakah itu kawan yang menawarkan kebaikan, atau lawan yang
menjanjikan kebinasaan.
Penuntut ilmu di jalan Allah mesti berhati-hati.
Melihat segalanya dengan mata hati.
Peperangan Menjanjikan Ghanimah
“Anak cikgu sambung belajor di manaaa?” tanya jiran saya.
Emak yang sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan menoleh.
“Dia sambung belajo ke Jordan. Bidang agama,” kata emak. Senyum seribu makna dilemparkannya.
“Oh ye ke.. elok bebenor le tu, cikgu. Orang belajor agama ni, Allah Taala sumpah depa takkan mati lapor!” balas makcik tersebut. Bahasa orang kampung, tapi maknanya mendalam sekali.
Saya tersenyum sendirian, tatkala mendengar
Ustaz Harun menghuraikan ayat ini. Teringat kembali kepada dialog
antara emak dengan jiran petang itu. Saya yang melangut di tangga rumah
teruja mendengar sumpah Allah yang disebut makcik tersebut. Janjinya
begitu, namun jalannya harus disuluh secara realistik. Segalanya tidak
mudah, namun mati kelaparan tidak sekali-kali.
Kemurahan Allah SWT mengurniakan bekalan
hidup buat manusia yang mewakafkan dirinya di medan perjuangan ini.
Dunia tidak menghukum lapar dan mati ke atas penuntut ilmu di jalan
Allah. Rezekinya ada, di mana-mana. Tetapi rezeki itu halus garis
pemisah di antara buruk dan baiknya. Rezeki yang datang melapangkan
jalan untuk terus berjuang. Tetapi ada juga rezeki yang membutakan jiwa
penuntut ilmu di jalan Allah, hingga tenggelam dalam KEPERLUAN mengatasi
TUJUAN.
Apa yang diperjuangkan bukan lagi sebuah
TUJUAN, sebaliknya tenggelam dalam mengejar KEPERLUAN (yang tidak pernah
cukup dan memuaskan).
Saya akur dengan nasihat Ustaz Harun. Jiwa gementar memikirkan liku-liku perjalanan ini.
AGENDA BESAR
Sesungguhnya besar sekali makna yang
terungkap di sebalik kalimah NAFARA yang difirmankan Allah SWT di dalam
ayat ini. Menuntut ilmu di jalan Allah SWT benar-benar sebuah
peperangan. Pengorbanan yang diperlukan besar, kerana harganya mahal.
Harganya mahal kerana nilainya tinggi. Nilainya tinggi kerana ia AGENDA
melahirkan ilmuwan pewaris Nabi.
“… dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka…”
Tugas yang dipikulkan ke atas penuntut ilmu di jalan Allah bukan sekadar memberi Taalim, memberi tahu.
Allah SWT memberitahu bahawa tugas penuntut
ilmu di jalan Allah sama seperti tugas seorang Rasul iaitu menyampaikan
sebuah INZAR (al-Muddatsir 74: 2). Inzar bukan sekadar memberitahu. Ia
lebih dari itu. Inzar memberi pelajaran tentang kebaikan, juga memberi
amaran terhadap keburukan. Inzar mengajak kepada yang maaruf, disertakan
juga seruan mencegah dan meninggalkan mungkar. Inzar adalah sebuah
mesej yang hidup, agar ummah sentiasa berjaga-jaga.